بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
CONTOH-CONTOH PERKATAAN YANG DIANGGAP MEMPUNYAI PERSAMAAN MAKSUD
Pada bahagian kedua, ana ingin mengupas beberapa contoh perkataan yang sering dianggap mempunyai maksud yang sama sedangkan pada hakikatnya adalah berbeza.
الشُّحّ dan البُخْل
الزملكاني dalam kitab beliau yang bertajuk “في بيان ألفاظ يتوهم أنها في معنى غيرها مع أنها متقاصرة عنها” telah menerangkan maksud sebenar bagi dua perkataan di atas.
الشح ialah sifat kedekut yang keterlaluan. Manakala البخل hanya semata-mata kedekut atau kedekut tahap biasa.
Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa, ayat 128:
وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ وَأُحْضِرَتِ الأَنْفُسُ الشُّحَّ وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya:
“Dan jika seorang perempuan khuatir akan suaminya akan berbuat kesalahan atau akan pergi meninggalkannya, tidaklah mengapa jika keduanya mengadakan rundingan perdamaian, dan rundingan perdamaian itu lebih baik, biarpun diri manusia itu bersifat kikir. Kalau kamu berbuat kebaikan (kepada sesama kamu) dan memelihara dirimu (dari kejahatan), sesungguhnya Allah itu mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَا ءَاتَاهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا
Maksudnya:
“Iaitu orang-orang yang kikir, menyuruh manusia supaya bersifat kikir, dan menyembunyikan kurniaan yang diberikan Allah kepadanya. Kami telah menyediakan seksaan yang hina untuk orang-orang yang tidak beriman itu.” (An-Nisa : 38)
Di sini, terdapat satu lagi kalimah di dalam al-Quran yang membawa maksud kedekut ataupun kikir iaitu الضَّنّ . Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Takwir, ayat 24:
وَمَا هُوَ عَلَى الْغَيْبِ بِضَنِينٍ
Maksudnya:
“Dan dia tidak kikir untuk (menerangkan) hal yang tiada kelihatan (ghaib).”
Ya. الضن juga membawa maksud kikir atau kedekut. Tetapi bentuk sifat ini berbeza dengan البخل dan الشح . الضن ialah sifat kedekut yang sering dikaitkan dengan pinjaman. Manakala dua kalimah gandingannya pula sering dikaitkan dengan pemberian berbentuk hibah (hadiah).
Contoh Pertama:
Kita memberi sedekah RM 20 kepada seseorang, maka duit tersebut sudah tiada lagi dengan kita dan menjadi milik orang yang menerima sedekah tadi.
Contoh Kedua:
Ada seseorang datang meminta untuk menjadi anak murid kita. Lalu kita menerimanya dan mengajarkan kepadanya segala ilmu yang kita miliki. Ilmu tersebut tidak hilang daripada kita dan dalam masa yang sama turut dimiliki oleh anak murid tersebut.
0 comments